Semua PPPT yang berada di Kategori 1 dan 2 Skim PPPT dalam semua bidang kecuali bidang Pengajian Am perlu mengikuti kursus di bawah PPK untuk meningkatkan profesionalisme kerjaya mereka. Berdasarkan Garispanduan Pelaksanaan Program Peningkatan Kemahiran (PPK) Tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) , menetapkan bahawa latihan/kursus PPK perlu diberi keutamaan kepada kemahiran berbentuk hands-on dan high technology.
Berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bil.6 Tahun 2005, Dasar Latihan Sumber Manusia Sektor Awam menetapkan dasar bahawa setiap anggota perkhidmatan awam perlu melengkapkan diri dengan sikap, kemahiran dan pengetahuan yang bersesuaian. Bagi PPPT, kesesuaian yang dimaksudkan akan diterjemahkan melalui pelaksanaan PPK ini agar ia dapat meningkatkan kemahiran profesional dan bidang ikhtisas yang bersesuaian dengan staf akademik di politeknik dan kolej komuniti.
PPK ini akan meningkatkan kompetensi tenaga pengajar kerana ianya melibatkan aktiviti yang menyumbangkan kepada pertambahan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang boleh meningkatkan profesionalisme tenaga pengajar dalam bidang masing-masing khususnya melibatkan pendidikan teknik dan vokasional.
Perubahan teknologi yang dinamik diperingkat global sentiasa berlaku. Kursus-kursus yang disediakan kepada tenaga pengajar di bawah program ini secara tidak langsung telah memberi pendedahan, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman baru kepada tenaga pengajar untuk memberi latihan kemahiran kepada pelajar. Sehubungan dengan itu, tenaga pengajar perlu mengamalkan budaya pembelajaran supaya mampu bertindak secara proaktif dan berkesan.
|