|
Pelancaran Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara pada 27 Ogos 2007 telah menjadi pemangkin kepada Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan transformasi dalam usaha untuk membangun dan membina modal insan dan modal intelek berkualiti. Justeru itu, dalam usaha merealisasikan cabaran tersebut, Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah melancarkan buku Agenda Pembangunan Modal Insan bagi seluruh Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) sama ada di JPPKK atau agensi di bawahnya. Selain daripada meletakkan asas-asas kecemerlangan, agenda ini juga membentangkan program-program pembangunan kepimpinan strategik yang bakal dilalui bagi meningkatkan kemahiran barisan kepimpinan melalui inisiatif latihan secara kolaboratif.
Salah satu daripada objektif Pelan Tindakan Strategik ialah membangunkan tenaga kerja profesional yang mempunyai bakat kepimpinan yang menyerlah, terasuh serta berkebolehan menjawat jawatan yang lebih tinggi. Selain itu, PPPT juga diharapkan agar sentiasa bersedia dalam melaksanakan tugas yang lebih mencabar dan memikul tanggungjawab yang lebih berat di setiap masa. Pemupukan dan penyuburan budaya prestasi kerja yang cemerlang dapat dilaksanakan melalui pengasuhan bakat tenaga kerja profesional, perancangan haluan perkembangan kerjaya dan perkongsian pengalaman dalam penyempurnaan tugas setiap PPPT. Justeru itu, selaras dengan keperluan pembangunan tenaga kerja sama ada di peringkat pengurusan atasan mahupun peringkat pertengahan, Bahagian Latihan dan Kerjaya (BLK) yakin hasrat ini mampu dicapai dengan melatih barisan kepimpinan dengan kemahiran seperti Coaching and Mentoring yang dapat dilaksanakandalam bentuk perbengkelan bersiri.
Coaching adalah merupakan satu proses interaktif di antara pengurus dan penyelia dari segi penyelesaian masalah atau usaha membangunkan kebolehan pekerja di bawahnya. Proses ini memerlukan kerjasama dari segi bantuan teknikal, sokongan peribadi dan cabaran yang dimiliki oleh individu yang terlibat.
Mentoring pula adalah proses pemberian khidmat nasihat, maklumat dan bimbingan oleh individu yang berpengalaman, berkemahiran serta mempunyai kepakaran kepada individu lain dalam usaha menbantu meningkatkan pembangunan diri dan kerjaya pegawai yang di bawahnya.
|